Hold My Hand and Bring Me To The Peak

Hold My Hand and Bring Me To The Peak
"...HE bring the sunsets to me..."

Monday, 28 January 2013

Manisnya Perjuangan




Jalan juang itu sangat panjang,
Ditengah nya pula terpancar kemilau 'permata',
Aku terpedaya...kemilau itu adalah taburan kaca yang amat menyakitkan,
'Dihiasi' pula dengan duri duri halus yang menusuk lagi memeritkan,
Pengorbanan itu perlu bagi menepis kesakitan itu.

Jalan juang itu sangat panjang,
Terasa lelah untuk menempuhnya,
Terasa jiwa ini dirobek lalu disentap,
Jangan pernah serik untuk melalui jalan itu,
Kerana dihujungnya menanti kemanisan untuk dirasa.

Keperitan dan kesengsaraan,
Anggaplah ia sebagai rencah perjuangan,
Walau beribu kali tersungkur,
Walau beribu tusukan duri dan kaca,
Jangan pernah serik untuk menempuhnya kembali,
Sesungguhnya jalan juang itu adalah jalan menuju kebahagiaan.

Saturday, 19 January 2013

...:: Petanda Apakah Ini? ::...


Bahasa Melayu.

Entah kenapa hari ini aku sangat gementar untuk menjawab kertas akhir peperiksaan Bahasa Melayu Lanjutan (Sains Sosial). Mungkin aku sedikit terpengaruh dengan kata-kata sahabatku yang terlebih dahulu mengambil subjek ini. Mereka mengatakan bahawa kertas ini susah untuk dijawab. Mungkin ini yang membuatkan aku berasa takut dan gementar.
*****

Alhamdulillah...aku bertawakal kepada Allah setelah menjawab soalan. 
Selepas tamat peperiksaan pada jam 5 petang, aku terus menuju ke bilik yang terletak di mahallah Ali. Setiap hari aku guna laluan yang sama untuk ke kelas dan juga untuk pulang ke mahallah. Tetapi, pada petang 30 Desember 2012 aku berasa sangat letih. Selepas selesai menjawab soalan aku bergegas menuju ke bilik. Aku menanggalkan pakaian dan berwudhu' bagi menunaikan solat asr' lantas terus merangkak menuju ke katil seusai solat.

Berasa sangat lega apabila dapat merebahkan diri ditilam yang empuk bersarungkan cadar yang bercorak ikan lumba-lumba. Aku bermonolog sambil meletakkan tangan kanan di atas dahi.
' eh, tidak apa ke aku tidur lepas asr' ni?'
Tubuh  yang terasa bagai ditindih dengan bongkah batu membuatkan aku mengendahkan semua itu.
Mata terus terlelap dengan sendirinya.Keletihan yang melanda menghilangkan semua bebanan yang dipikul. Aku terus dibuai lena tanpa ada sebarang gangguan. Kelembutan angin yang menghembus dari jendela membuatkan aku terus hanyut dalam tidurku.

Tiba-tiba!
Lena ku disapa oleh suatu mimpi. Bagiku ia suatu mimpi yang menggerunkan. Lagu dialunkan dengan merdu sekali. Sekali sekali nadanya sedikit tegas. Didalam tidur aku rasa kebingungan. Lagu apakah ini? kenapa dengan lagu ini?. Terkadang aku terhibur dan adakalanya aku kehairanan. Aku amati lirik itu dengan penuh ketelitian. Bila diamati...astaghfirullah!!! lagu apakah ini?
Lapangkanlah hatimu dalam musibah
Dan bersabarlah di jalan Allah
Jangan hanya memeluk dunia fanaYang bersalut dengan dosaAkan mengejarmu saat kau matiJadi jujurlah harungi hidup iniJauhi azab ilahiBersyukurlah selalu Dan jangan raguNescaya jauh azabmu
Ingat azab neraka
 Aku terus terjaga dari lena. Aku duduk seketika dan termenung. Aku termenung mengimbas kembali lagu dan lirik yang menjengah dalam tidurku. Masyaallah!!! aku melihat ke luar jendela hari sudah beransur gelap. Dan aku masih belum menunaikan solat maghrib. Melihat kearah meja belajar dimana terletaknya jam tangan aku dan alhamdulillah...masih ada waktu bagiku untuk mengerjakan solat maghrib. Seusai solat, aku menarik kerusi berwarna biru lantas melabuhkan pinggulku.

Aku kembali bermuhasabah atas apa yang menimpaku sewaktu tidur sebentar tadi. Petanda apakah yang Allah kirimkan kepada ku ini? apakah yang akan berlaku sebenarnya?. Bermacam-macam tekaan yang berlegar-legar di ruang minda. Aku menceritakan perihal ini kepada rakan-rakanku. Mereka menyatakan 'ini adalah peringatan Allah buat hamba yang disayangi'. Subhanallah. Mungkin juga aku sering melupakan-Nya. Alhamdulillah kerana Dia mengirimkan sebuah mimpi yang mengetuk pintu hatiku untuk menguatkan ingatanku kepada-Nya.

Setelah diteliti lirik itu. Baru lah aku sedar, lirik ini adalah sebuah lagu yang disampaikan oleh sebuah kumpulan nasyid yang diberi nama Irsyadee.

Jangan lah kita lari atau menjauhkan diri daripada peringatan Allah. Dia sangat sayang kepada kita, itu sebabnya Dia menghantar ingatan dalam apa jua bentuk dan keadaan yang diingini-Nya.

Alhamdulillah...

Sunday, 9 December 2012

Maafkan Aku Duhai Sahabat



Ke hadapan sahabatku yang disayangi,

Terlebih dahulu, aku menghulurkan kedua belah tanganku memohon kemaafan kerana menganggu ketenteramanmu. Aku sangat memahami situasi dirimu yang mungkin terkejut dengan kehadiran insan kecil tanpa jangkaanmu. Sesungguhnya aku minta maaf sekiranya kehadiran surat ini membuatkan dirimu berasa tidak selesa dan sangsi kerana selama kita menjalinkan ukhuwah aku tidak pernah mengirimkan surat kepada kau.

          Sahabatku, meskipun kita berbeza pendapat dan pendirian, tetapi aku tetap menganggap kau sebagai saudaraku. Persahabatan kita sungguh akrab, sehingga kau dapat memahami keadaanku dan berasakan kita sudah ditardirkan untuk bertemu didalam satu usrah dan sekaligus menjadi teman rapat sehingga kini.

          Sahabatku, aku begitu kagum dengan sifat keberanian dan ketegasanmu dalam apa jua keadaan. Sedangkan aku seorang yang lemah dan mudah menyerah diri kepada nasib dan situasi yang aku sendiri tidak mampu mengendalikannya. 

          Sahabatku, tujuan surat ini dititipkan kepadamu adalah untuk memberitahu bahawa sesungguhnya kau seorang yang berani dan tegas. Namun rapuhnya peganganmu pada agama apabila hadirnya seseorang yang mungkin bagimu dia adalah bidadari dalam hidupmu, tetapi dia sebenarnya adalah sembilu beracun yang tersembunyi di sebalik keayuannya. Mungkin kau tidak merasakan tusukan sembilu itu tetapi ingatlah bahawa mereka disekelilingmu sedang menderita akibat tusukan sembilu itu. Mungkin akibat kelemahan diriku inilah yang membuatkan aku menjadi bacul kerana membiarkan dirimu terus 'bermain' dengan sembilu beracun itu. Aku berasa diriku telah membuat kesilapan yang teramat besar dalam hidupku. Kesalahan dan kelalaian yang melibatkan maruah diri. Kesucianmu diragut tanpa rela atas kelemahanku membuang sembilu itu.

          Sahabatku, namun begitu aku sedar dan aku tahu bahawa yang berdosa dan bersalah itu juga adalah diriku kerana aku gagal untuk mencegah dirimu dari terus lena dan leka dengan 'bidadari' yang membawa selautan sembilu kasih kepadamu.

          Oleh itu, sahabatku, sudilah kau terima diriku ini yang penuh dengan dosa yang menggunung. Sahabatku,sudilah kau menerimaku sebagai sahabat agar dapat kita bersama-sama kembali menuju jalan yang lurus. Sahabatku, jalan tarbiyah ini panjang dan memenatkan. Seandainya kau tersungkur, ingatlah bahawa jalan ini memerlukan kita untuk menempuhnya bersama.

          Terimalah diriku ini dengan kasih sayang kerana aku tidak mampu untuk memberi kasih sayang atas dosa yang ku lakukan terhadapmu kerana membiarkan dirimu sendirian, sehingga kau berjaya ditusuk sembilu yang dibawa oleh 'bidadari' itu. Nafsu manusia yang rakus mengatasi segala fikiran waras. Kesannya, bukan hanya kau seorang yang terpaksa menghadapinya tetapi aku juga.

          Sahabatku, aku ingin kau tahu bahawa surat ini ditulis bersama-sama dengan guguran mutiara jernih sebagaimana gugurnya seuntai doa demi kebaikan diriku dan dirimu. Pena ini menulis dengan iringan air mata dan doa kudusku.

          Akan ku pimpin tanganmu seeratnya berdasarkan kepercayaanmu terhadapku. Izinkan aku kerana aku sendiri tidak mampu dalam keadaan diriku yang lemah dan tidak terdaya. Sampai disini sahaja bicaraku, semoga kita akan berjumpa di suatu masa yang aku sendiri tidak pasti. Aku juga titipkan seuntai kata untuk dirasa:



Ya robbi, sudilah pandang kami,
Terangi jalan gelap,
Jangan biarkan aku terus sendiri,
Mencari dan mendaki
Ya robbi, Kau dengarlah doa ku ini.

Sekian, sahabatmu.

Sunday, 11 November 2012

..:: ChIlL & cHeEr @ LORONG ::..





Assalamualaikum semua!!! Untuk entry kali ini agak special sedikit…hmmm…kenapa special? Sebab nya, program yang saya join kali ini agak berbeza pengalamannya…kalau sebelum ini saya hanya berprogram dirumah anak-anak yatim, rumah orang tua dan sebagai fasiltator di sekolah sahaja…tetapi, pada 10/11/2012 saya telah mengikuti sebuah program yang dikenali sebagai ‘Food for Homeless’…


*****

Program ini adalah anjuran Psychology Students’ Association berkolaborasi dengan  Persatuan Mahasiswa Fakulti Pendidikan dari UiTM kampus Shah Alam…program ini diadakan di sekitar Lorong Haji Taib dan kawasan sekitarnya…tujuan program ini diadakan adalah untuk mendekati golongan-golongan seperti penagih dadah, pelacuran/sex worker, mak nyah atau transsexual dan golongan miskin serta orang tua yang merempat kerana tiada tempat tinggal…oleh kerana kami semua tidak berpengalaman dalam lapangan kerja seperti ini, kami dengan kerjasama dan bantuan dari ‘Cure & Care Service Center’ (CCSC)Chow Kit yang diselia sepenuhnya oleh Kementerian Dalam Negeri dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk bersama-sama menjalankan program ini…




****
“ishhh…takut nya…” kata seorang sahabat dari UiTM
Majoriti daripada kami tidak pernah turun ke lapangan aktiviti seperti ini…dan ini merupakan pengalaman pertama kami untuk mendekati golongan yang ‘kurang bernasib baik’ disekitar ibu kota…perasaan kami ketika itu bercampur baur…kami sangat teruja kerana ini pengalaman pertama kami, dalam masa yang sama kami sedikit gementar untuk bertemu dengan mereka…

*****

Bagi mempercepatkan aktiviti, kami berpecah kepada dua kumpulan…kumpulan saya akan ke lorong haji taib dan kawasan sekitarnya dan kumpulan kedua akan ke kawasan terbuka…dalam aktiviti ini, kami mengedarkan 200 bungkus makanan, air mineral, sabun mandi, berus dan ubat gigi, roti dan tuala wanita (untuk wanita sahaja…^_^) kepada golongan-golongan seperti yang disebutkan…kami dibantu oleh seorang doctor muda yang berusia 26 tahun lulusan dari Monash University…Doctor Danial akan memeriksa keadaan mereka dan memberikan ubat kepada mereka sekiranya mereka tidak sihat…


Dr Danial sedang memeriksa salah seorang homeless...






*****
Mereka sangat gembira apabila masih ada yang mengambil berat tentang diri mereka…kerana kegembiraan itu jelas terpancar di wajah mereka…ada yang baru sahaja mengucapkan kalimat syahadah…alhamdulillah…mereka sedar…tidak hairan pula ada yang memberi nasihat kepada kami…





Khusyu mendengar nasihat daripada uncle ini....^_^



‘kamu semua belajar rajin-rajin tau…semoga Allah memberkati kamu semua…’ kata seorang warga india kepada kami…
Ada yang diantara kami terkejut kerana mereka tidak mempunyai pendidikan yang begitu tinggi tetapi mampu memberi sesuatu yang memberi impak kepada kami…orang pernah berkata ‘jangan lihat siapa yang bercakap, tetapi lihat apa yang dicakapkan’… tidak kira siapa mereka sekalipun, setiap kata-kata dari mereka kita ambil untuk dijadikan iktibar dalam kehidupan seharian kita…

*****

Alhamdulillah…aktiviti tamat pada jam 11.30 malam dan kembali ke pejabat CCSC…kami melakukan sharing moment atau dibreifing  tentang sepanjang aktiviti turun ke lapangan…ada yang kata begitu…ada yang kata begini…pada awal program, masing-masing dengan negative judgement tentang golongan ini …tetapi, setelah merasa sendiri untuk bertemu dengan mereka…baru lah negative judgement tadi bertukar kepada positive…sedikit sebanyak kami dapat salami jiwa mereka…mereka turut berkongsi masalah dengan kami…mereka sangat sporting
Akhir nya, kita jangan lah terlalu suka menghukum…sebalik nya kita cuba untuk mendekati mereka dan tahu isi hati mereka…mudah-mudahan pintu hati mereka terbuka untuk menerima cahaya ke pangkal jalan…amin…


My crew pass


Berkumpul di hadapan Pejabat Agung Pas
^_^







Hasil tulisan salah seorang homeless...








Berbual dengan salah seorang homeless...





Penyampaian cenderahati dari wakil UIAM kepada wakil CCSC

Penyampaian cenderahatai dari wakil UIAM kepada wakil Persatuan Mahasiswa Fakulti Pendidikan Uitm

Penyampaian cenderahati dari wakil Uitm kepada wakil CCSC

Penyampaian cenderahati dari wakil UiTM kepada wakil UIAM

Saturday, 27 October 2012

..::FiTrAh kHaDiJaH::..




Setiap yang terjadi ada cerita yang tersembunyi
Namun kau tidak dapat menolak takdir Ilahi
Bukan kehendak mu untuk seperti ini
Tetapi kehendak Dia untuk menguji mereka disekeliling mu

*****
Fitrah Khadijah...ermmm...sungguh indah nama tu kan???Pada pertemuan pertama aku dengan dia sungguh menggembirakan...

Pertemuan ini berlaku apabila seorang sahabat aku mengajakaku untuk menjadi salah seorang petugas untuk program yang akan diadakan di Kampung Sungai Lang, Banting, Selangor...program itu berlangsung selama sehari sahaja..tetapi aku dan sahabat-sahabat lain yang terlibat telah bertolak dua hari awal...ini kerana kami bukan sahaja dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program yang bakal dijalankan, bahkan, kami juga akan menerima keluarga angkat di kampung tersebut...kami telah dipecahkan ke beberapa kumpulan..dan satu kumpulan untuk satu keluarga....dan aku serta dua orang rakan yang lain terpilih untuk menjadi anak angat kepada ketua kampung, ayah Kandar...

*****

Hampir setiap malam aku dan rakan-rakan sibuk menyiapkan tugasan di balai raya...tidak lupa juga kepada mak angkat kami, ummi Saimah yang turut bertungkus lumus bersama kami bagi memastikan program berjalan dengan lancar...ummi masih setia bersama kami walaupun ummi terpaksa meninggalkan anaknya buat seketika...ummi Saimah menjadi tempat kami bergurau...secara fizikal nya ummi tampak tenang melayan kerenah kami...tetapi tidak siapa pun yang tahu isi hati ummi...dalam kesibukan ummi melayan pe'el kami...namun ummi tidak lupa akan tanggungjawab nya sebagai seorang isteri dan juga ibu kepada tiga orang anak... ummi mempunyai seorang anak yang sangat istimewa yang bernama Fitrah Khadijah yang menghidap Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD)...

Ummi tidak seperti sesetengah ibubapa yang tidak sanggup membela anak yang menghidap penyakit seperti ini...tapi ummi tabah menghadapi segala cabaran dalam mendidik Fitarah...ummi masih kuat untuk melayan kerenah Fitrah...


Fitrah sudah hampir lima tahun...tetapi dia tak seperti kanak-kanak lain...Fitrah sangat istimewa....

aku mula mengenali Fitrah bila ummi bawa Fitrah bersama-sama ke balai raya...pada awal nya aku tidak tahu keadaan Fitrah yang sebenarnya...tapi ummi sudah terangkan kepada aku...Fitrah seorang yang sangat manja orangnya...semasa di balai raya...aku dan Fitrah banyak bermain bersama...kadang-kadang seronok melayan kerenah Fitrah...


*****

Setelah hampir setahun saya meninggalkan kampung Sungai Lang dan juga Fitrah serta ummi...alhamdulillah...

pada syawal 1433H aku sekeluarga sempat berkunjung kerumah ummi Saimah dan suami, ustaz Ismadi...


Ummi, Fitrah mana?
Itulah ungkapan pertama sebaik menjejakkan kaki kerumah ummi....sudah lama aku tidak bertemu dengan Fitrah...
Fitrah kelihatan sangat seronok bila dapat jumpa dengan 'abang'nya..hehe...

Fitrah, kenapa buat abang macam tu!!!
Tegah ummi sebaik melihat Fitrah menarik rambut aku....namun, sebagai seorang yang faham akan kondisi Fitrah...aku membiarkan sahaja perbuatan Fitrah itu...ermmm...aku hampir menumpahkan air mata kerana terlalu seronok dapat berjumpa dengan Fitrah setelah sekian lama tidak bertemu...subhanallah...sangat seronok...aku dapat menyuapkan Fitrah tauhu terbalik dan juga jus Roselle yang ummi sediakan...pertemuan singkat dengan Fitrah membuatkan aku sangat gembira...alhamdulillah...
Pertemuan itu datang nya dari Allah
Perpisahan itu juga milik Allah
Setiap yang bertemu akan berpisah
Hanya menanti pertemuan seterusnya 

*****
aku sangat kagum dengan ummi Saimah dan suami, ustaz Ismadi kerana tabah melayari liku-liku kehidupan disamping menjaga Fitrah...seharusnya, para ibubapa perlu menjadikan ummi sebagai sumber inspirasi untuk terus menjaga anak-anak yang senasib dengan Fitrah...mereka bukan menyusahkan tetapi mereka adalah ujian buat mereka yang bergelar ibu dan bapa...mereka tidak dipinta untuk dilahirkan sebegitu...mereka adalah 'hadiah' dari Allah yang sangat istimewa...

Coretan memori bersama Fitrah

Bersama Fitrah di pantai Morib.....






Fitrah Khadijah ^_^






Keluarga saya dan keluarga ummi Saimah serta suami
syawal 1433H

Kehidupan itu sangat indah seperti pelangi
Setiap dari mereka ingin menggapai pelangi
Bersabar lah, pelangi itu akan muncul dalam hidup mu
Keindahan pelangi akan terus bersinar 
Seperti sinarnya sang bulan kepada sang bumi...
Note: ummi Saimah dan ustaz Ismadi
         Kampung Sungai Lang, Banting, Selangor


Friday, 21 September 2012

.:: SeLaMaT TiNgGaL ::.



Seperti biasa, setelah pulang dari pejabat dan tiba di rumah, aku terus duduk berehat disofa untuk manghilangkan penat.
Sepertinya aku berasa sangat malas untuk membersihkan diri dan menunaikan solat.
Sementara anak-anak dan isteri sedang berkumpul diruang tengah.
Dalam keletihan tadi, aku disegarkan dengan adanya angin dingin sepoi-sepoi yang menghembus tepat di muka ku.
Selang beberapa lama seorang yang tak tampak mukanya yang berjubah putih dengan tongkat ditangannya tiba-tiba sudah berada di depan mata.
Aku sangat terkejut dengan kedatangannya yang tiba-tiba itu.
Sebelum sempat bertanya.. siapa dia.. tiba-tiba aku merasa dada ku sesak, sukar sekali untuk bernafas.
Namun aku berusaha untuk tetap menghirup udara seperti biasa.
Yang aku rasakan waktu itu seperti ada ada sesuatu yang berjalan perlahan dari dadaku.. terus berjalan.. ke kerongkongku… sakittt… sakit.. rasanya.
Keluar airmataku menahan rasa sakitnya…
Ya Tuhan apa yang telah berlaku pada diriku??
Dalam keadaan yang masih sukar bernafas tadi, benda tadi terus memaksa untuk keluar dari tubuhku… kkhh… khhhh.. kerongkonganku berbunyi.
Sakit rasanya, amat teramat sakit..
Seolah tak mampu aku menahan benda tadi…
Badanku gementar… peluh keringat meluncur deras… mataku terbeliak… air mataku seolah tak berhenti.
Tangan dan kakiku terasa kejang sedetik setelah benda itu meninggalkan aku.
Aku melihat benda tadi dibawa oleh lelaki misteri itu… pergi… berlalu begitu saja…. hilang dari pandangan.
Namun setelah itu… aku merasa aku jauh lebih ringan, sehat, segar, cerah… tidak seperti biasanya.
Aku heran… isteri dan anak-anak ku yang sedari tadi ada diruang tengah, tiba-tiba terkejut berhamburan ke arahku..
Di situ aku melihat ada seseorang yang terbujur kaku ada tepat di atas sofa yang kududuki tadi.
Badannya dingin kulitnya membiru.
Siapa dia???
Mengapa anak-anak dan isteriku memeluknya sambil menangis… mereka menjerit… histeria …. lebih-lebih lagi isteriku
seolah tidak mahu melepaskan orang yang terbujur tadi…
Siapa dia???
Betapa terkejutnya aku ketika wajahnya dibalikkan.
Dia… dia… dia mirip dengan aku…. ada apa ini Tuhan???
Aku cuba menarik tangan isteriku tapi tak mampu…..
Aku cuba pula untuk merangkul anak2 ku tapi tak berjaya.
Aku cuba jelaskan kalau itu bukan aku.
Aku cuba jelaskan kalau aku ada di sini..
Aku mulai berteriak….. tapi mereka seolah tidak mendengarkan aku.
Seolah mereka tidak melihatku…
Dan mereka terus-menerus menangis…. aku sedar.. aku sedar bahawa lelaki yang misteri tadi telah membawa rohku.
Aku telah mati… aku telah mati.
Aku telah meninggalkan mereka ..tidak kuasa aku menangis… berteriak… Aku tak kuat melihat mereka menangisi mayatku.
Aku sangat sedih.. selama hidupku belum banyak yang kulakukan untuk membahagiakan mereka.
Belum banyak yang telah kulakukan untuk membimbing mereka.
Tapi waktuku telah habis… masaku telah terlewat… aku sudah dikembalikan pada saat aku terduduk di sofa setelah penat seharian bekerja.
Sungguh, bila aku tahu aku akan mati, aku akan membahagi waktu bila harus bekerja, beribadah, untuk keluarga dll.
Aku menyesal aku terlambat menyedarinya.
Aku mati dalam keadaanku belum solat.
Oh Tuhan, JIKA Kau inginkan keadaanku masih hidup dan masih bisa membaca bicara hati ini sungguh aku amat sangat bahagia.
Kerana aku MASIH mempunyai waktu untuk bersimpuh, mengakui segala dosa & berbuat kebaikan sehingga bila maut menjemputku kelak aku telah berada pada keadaan yang lebih bersedia.

*****
~TAMAT~

.:: kEmBaRa UsRaH ::.




Ku memberhentikan langkah buat seketika di sebuah tempat
Begitu asing buatku selama ini
Lalu ku terus mencari sesuatu untuk menenangkan fikiranku
Keadaan dan suasana yang begitu berlainan

Seorang insan yang tidak diundang menghampiriku
Segalanya tidak diduga bagaikan membawa segala perasaan
Segalanya bagaikan berada dalam syurga hidup kita

Ku terus menghanyutkan dirimu ke tengah lautan
Bisikan ombak yang begitu tenang sekali
Keheningan malam yang ku tunggu-tunggu selama ini
Wangian dan kelembutan yang ku cari selama ini
Melemparkan senyuman yang melahirkan seribu makna bagi diriku

Lantas bila ku bukakan mata, ia bagaikan mimpi mainan tidurku
Lalu ia memulakan satu lagi episod dalam hidupku