Hold My Hand and Bring Me To The Peak

Hold My Hand and Bring Me To The Peak
"...HE bring the sunsets to me..."

Thursday 16 January 2014

Sakhon: Pemuda Filipina berwajah Arab


Takdir menemukan aku dengan seorang remaja yang berusia 19 tahun. Beragama Buddha dan berbangsa Filipina tetapi fasih berbahasa melayu.  Merupakan seorang mahasiswa jurusan perfileman yang menuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi di ibu Negara.

Tiga hari sebelumnya, aku menerima panggilan dari encik Syed, salah seorang wakil daripada sebuah syarikat media yang baru sahaja ditubuhkan. Aku terkejut. Bagaimana saudara ini bisa menemukan nombor panggilan aku. Bingung dan penuh tanda tanya. Masih didalam perbualan telefon bimbit aku bertanya dari mana dia mendapatkan contact aku. Lalu jawabnya, ‘saya bertanya kepada kenalan anda dilaman muka buku yang sama kampus dengan anda’. Baiklah, satu persoalan telah pun dirungkaikan namun masih ada satu persoalan lagi yang masih berlegar di fikiran iaitu apakah tujuan wakil syarikat ini menelefonku? Beliau menginginkan supaya satu tarikh ditetapkan bagi menjelaskan tujuan beliau menelefonku. Kami berdua berbincang lama bagi menetapkan tarikh yang sesuai untuk kami berjumpa kerana masa itu merupakan masa klimaks bagi kami para pelajar UIA untuk menduduki peperiksaan akhir semester.

Akhirnya, kami bersetuju dan menetapkan hari selasa untuk kami berjumpa supaya orang tersebut dapat memberitahu objektif dia yang sebenarnya. Bermacam andaian yang bukan-bukan bermain dikotak fikiran. Mana tidaknya, seorang yang tidak dikenali peribadinya ingin berjumpa kita. Dunia sekarang dikejutkan dengan bermacam-macam topik di dada akhbar yang melibatkan mahasiswa menjadi mangsa kepada sindiket tertentu. Ini yang merisaukan aku.

Kami berjumpa pada hari yang ditetapkan. Lelaki tersebut menjemputku dikampus dengan menaiki kereta jenis audi. Didalam kereta, lelaki yang membahaskan dirinya sebagai abang Syed menyanyakan khabar aku dan aku diperkenalkan dengan seorang remaja lelaki. Abang Syed memberitahu bahawa remaja itu adalah adiknya dan namanya ialah Sakhon. Pelik tapi apa yang mahu dihairankan kerana zaman sekarang ramai yang menggunakan nama yang ringkas dan pelik bunyinya. Tidak lama kemudian, abang Syed memberitahu lagi bahawa adiknya itu berasal dari Filipina dan dia bukan Muslim. Mataku membulat. Bagaimana keluarga yang beragama Islam boleh mempunyai adik yang bukan beragama Islam? Atau barangkali adiknya itu bertukar agama? Sekali lagi otakku diseliratkan dengan persoalan-persoalan sebegini. Akhirnya, Sakhon menceritakan segalanya. Dari awal pertemuan dia dan abang Syed di Istana Budaya sehingga ke hari kami berjumpa. Baru aku faham bahawa remaja itu bukan lah saudara kandung abanag Syed tetapi hanya panggilan sahaja.

Aku tidak menyangka Sakhon itu bukan Muslim. Wajahnya persis orang Arab.

Kami bercakap tentang Islam dan sama sekali dia tidak kekok untuk turut serta dalam perbincangan aku dan abang Syed. Sekali sekala dia bertanyakan tentang maksud-maksud perkataan arab yang sering didengarinya. Sehingga lah tiba waktu maghrib dan kereta dipandu menuju kesebuah masjid bagi menunaikan solat maghrib. Secara spontan dan bersahaja abang Syed mengajak Sakhon untuk sama-sama bersolat.

            ‘adik, jom lah ikut solat sekali’

            ‘BMW lah bang’ tersengih Sakhon membalas.

            ‘ha? BMW? Mana?’ aku dan abang Syed terpinga-pinga mencari BMW yang dikatakan.

Tiba-tiba Sakhon gelak terbahak-bahak.

            ‘apa lah abang Syed dan Amar ni. BMW itu maksudnya saya Belum Mandi Wajib lagi’ balasnya dengan seyuman yang menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi.

Selepas mendengar apakah yang dimaksudkan dengan BMW itu, baru lah kami faham dan terpaksa menahan gelak sambil melangkah kedalam masjid.

Pertemuan singkat aku dengan Sakhon membuka minda dan membetulkan persepsi yang selama ini aku menyangkakan bahawa orang bukan Islam akan membenci Islam. Tetapi tidak! Sangkaan aku meleset sama sekali. Tidak semua orang begitu. Dan ini lah yang dikatakan kasih sayang sesama manusia tidak kira walau berbeza bangsa dan agama. Dan Sakhon adalah seorang remaja yang terbuka mindanya untuk mengetahui tentang perbezaan antara slam dan agama-agama yang lain.       


Semoga remaja ini bertemu dengan kebenaran yang hakiki.