Hold My Hand and Bring Me To The Peak

Hold My Hand and Bring Me To The Peak
"...HE bring the sunsets to me..."

Thursday 17 October 2013

..: Siapa Kita Di Hari Tua :..


Dunia kini, ramai orang begitu takut sekali dengan perkataan 'tua'. Kenapa?
Produk-produk kecantikan semakin giat dikeluarkan bagai 'cendawam tumbuh selepas hujan'.
Memang fitrah insan suka akan kecantikan. Walau apa cara sekalipun digunakan untuk mengelak dari 'tua' dengan memakai barang-barang toxic seperti botox, collagen, vitamin C ataupun pembedahan plastik, ingah lah! 'tua' akan tetap mengejar.
****

Zaman kanak-kanak atau zaman muda adalah suatu zaman yang sangat indah buat semua manusia. Kerana pada zaman itu manusia kelihatan muda dan cantik. Persoalannya, adakah muda dan cantik itu kekal selamanya?

Pada zaman muda kita masih gagah dan kuat. Manusia bebas melakukan apa sahaja yang mereka anggap sesuatu itu menyeronokkan. Sombong, bongkak dan sebagainya.


Tetapi, apabila usia menginjak ke alam 'tua' adakah kita mampu melakukan itu semua seperti zaman muda-muda kala?
Keringat yang gagah tidak lagi berupaya dihari 'tua'. Ini kerana sudah aturan-Nya. Tak bisa untuk dilawan.
Raut muka yang dahulunya tegang dan awet muda sudah mula berkerepot menampakkan jalur-jalur tua. Rambut yang dulu hitam dan kadang kala berwarna kini sudah bertukar warna iaitu putih.

*****
Sesetengah tafsir mengatakan bahawa uisa 40 tahun adalah suatu angka penentu bagi seseorang. Kerana pada usia ini, manusia akan meninggalkan zaman remajanya dan menginjak ke zaman dewasa sepenuhnya.

*****
Kalau zaman mudanya kita lihat seperti dia yang berkuasa tetapi di hari tua dia lah orang yang paling lemah. Sehinggakan makan pun bersuap.
Tidak ada apa pun yang perlu kita banggakan. Kerana apa yang kita miliki akan kita tinggalkan.
\
*****

Carilah kebahagian.
Tidak usah tertipu dengan barangan kecantikan.
Disaat hidup terus dimamah usia, tak usah kita berlagak seperti dahulu kala.
Kerana hidup kita diatas putaran. Terkadang diatas dan terkadang dibawah.
Sentiasa lah beringat akan saat itu.

Jika kita tidak mengubah hidup kita. Berkelakuan yang tidak-tidak seperti zaman muda.
Maka ingat lah, Siapa kah kita dihari tua?


Tuesday 15 October 2013

..: Wajah Baruku :..


Bayu petang
Sangat mendamaikan
Dibawah pohon gedek aku bertimpuh
Lalang seakan mengikut tempo angin meniup
Ke kiri, ke Kanan
Lenggok sekali tariannya

Mereka asyik menendang bola
Ligat mengatur langkah menyusun strategi
Aku termanggu di bawah rendang pohon
Mentari masih setia memancar sinarnya

Sesekali ku usap butiran peluh yang menitis
Eh! Rambutku...
Aku ketawa kecil
Aku dulu yang berjambul
Kini tiadak lagi

Wajah baruku tidak seperti dulu
Dulu setiap saat aku sisir
Kini tak usah lagi

Bayu seakan menyentuh kepala gondol ini
Ahhh!!! Nyaman sekali
Ringan
Itu yang aku inginkan
Persis buih melayang di awan biru


Amar Aimmullah
13-10-2013

Monday 14 October 2013

Motor Merah Abah



Malam ini entah apa yang aku fikirkan. Cuti pertengahan semester kali ini sungguh padat dan memenatkan. Mana tidaknya, minggu pertama selepas cuti berderet dengan peperiksaan, assignment dan mesyuarat. Terpaksalah aku mengangkut buku-buku yang berkilo beratnya pulang 'bercuti' bersama.

Embun pagi terus jatuh menyembah bumi.
Aku disini termanggu sendirian. Mendengar pancuran air diluar rumah memaksa aku untuk meninjau bunyian itu. Aku terus gapai kunci grill dibalik langsir merah jambu umi. Melihat telatah beberapa ekor ikan dikolam begitu menenangkan. Kadang-kadang aku ketawa sendirian melihat aksi mereka. Mereka sangat manja. Itu memang hobi aku. Dari kecil hingga sekarang aku memang suka memelihara ikan perhiasan. Kira-kira, hampir ratusan malahan ribuan ringgit aku habiskan untuk ikan-ikan aku.

Aku masih tidak berganjak dari bangku bulat yg berada ditepi kolam mini hasil tangan aku. Hampir 15 minit aku melayan kerenah kawanan ikan. Pandangan aku beralih ke sebelah kanan rumah. Sebuah motor jenis Yamaha warna merah tersandar dipagar rumah.

Jam terus berdetik. Jarum menunjukkan sudah pukul 2 pagi dan aku masih diluar rumah bertemankan embun dan ikan dikolam. Melihat motor yang tersandar itu, ingatan aku terus diterjah memori yang pernah aku lalui bersamanya.

*****
" kring...kring...kring..." telefon jenis nokia berdering.
" Along, abah sampai lambat sikit ya. minyak motor habis". Jelas abah dalam corong telefon.
Perangai buruk yang ada pada aku ialah, aku paling tak suka sampai lambat ke sekolah.

12.45 tengahari abah sampai. Aku sudah memuncung. Abah faham sebab aku memang tak suka lambat masuk kelas. Umi cuba menenangkan aku dan terpaksa aku akur dengan kata-kata umi. Aku menyarung kasut dan terus tunggang dibelakang abah. Dengan raut muka yang mencuka aku melangkah masuk pagar sekolah.

Motor merah abah memang banyak jasanya. Pergi dan balik sekolah aku dengan 'virago' merah yang uzur itu. Dari sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah aku dengan kenderaan itu.

Pernah kami tiga beranak, abah, aku dan angah hampir kemalangan sewaktu perjalanan ke sekolah. Masih segar peristiwa itu dalam kotak ingatan aku. Hari Selasa jam 12 tengahari abah jemput aku dan angah dirumah. Hari Selasa adalah hari perhimpunan mingguan sekolah aku. Perhimpunan akan bermula pada jam 12.30 tengahari dan aku masih dijalan.

Rambut angah berterbangan ditiup angin.
Tiba-tiba motor usang itu hilang kawalan. Kami tiga beranak hampir terjatuh dari tunggangan. Kami cemas. Abah menyeret motor itu ke bahu jalan. Muka aku sudah berkerut. Risau akan lambat ke perhimpunan dan didenda. Jam 12.30 tengahari aku masih dijalan bersama abah, angah dan 'virago' tua itu.
" Sudah la! orang tak nak pergi sekolah. Dah lambat!" rengek aku.
Abah hanya membisu.
Tidak lama selepas itu, seorang lelaki menunggang motorsikal berhenti dan dia adalah kenalan abah di kampung ini. Abah cerita perihal yg terjadi pada kami bertiga.

Aku yang tidak mengerti tentang perihal enjin kenderaan hanya mengatup gigi serapatnya di belakang abah. Selepas setengah jam menunggu, akhirnya punca kejadian dikenal pasti. Puncanya ialah motor itu kekeringan minyak hitam. Kawan abah terus bergegas ke stesen minyak untuk mendapatkan 'isotonik' itu supaya motor tua kembali bertenaga.
" Vrommm...vrommm...vrommm..."
" Yeay! motor dah elok". Teriak angah.
Kami tiga beranak tanpa berlengah terus menaiki motor itu dan pulang ke rumah. Pada hari itu aku dan angah terpaksa ponteng sekolah kerana sudah lambat dan takut dimarahi cikgu.
Gara-gara motor merah itu aku terpaksa ponteng sekolah!

*****

Tersenyum sendirian mengenangkan peristiwa itu. Mungkin itu kenangan pahit atau mungkin kenangan manis bagi aku.

Ya.
Aku masih diluar rumah pagi-pagi 'buta' begini. Entah apa yang aku lakukan.
Melihat motor yang tersadai itu mengingatkan aku betapa besarnya pengorbanan ia. kata abah,
" Kalau tak kerana motor itu, tak akan sampai kau ke sekolah ".
Memang. Memang setiap hari aku akan ke sekolah dengan motor cabuk itu.

Kini, motor itu tersadai kesepian dipagar dawai. Tak bisa berjalan seperti dulu.

Dulu 'kau' gagah mengelilingi Bangi, kini 'kau' lumpuh bertemankan tongkat pendek berkarat itu.

Walaupun begitu, motor merah abah tetap terpatri erat dalam ingatan aku.

Sunday 13 October 2013

.:: KaU sEmUt MeRah ::.


Kalam berubah
Muram Kalah
Suram tak terjamah
Itulah kau semut merah

Menerawang bagaikan terang tak kunjung gelap
Mencari sisa bekalan gigih tak pernah malap
Pulang tatkala senja berlabuh

Engkau semut merah
Walau engkau dipijak
Walau engkau dihambur dengan racun perosak
Aku tetap berbangga dengan engkau
Ya. Memang engkau menyengat
Namun, tetap semangatmu tak pernah lenyap
Bagaikan daunan yang sentiasa merimbun didahannya

Engkau semut merah
Walau gencat rupamu
Kau terus gah membina busut

Engkau semut merah
Seringkali dicaci oleh makhluk bernama manusia
Sungguhpun begitu
Kau tetap utuh mencipta sukses
Kau tahu kenapa?
Kerna Engkau Semut Merah


Amar Aimmullah
14-10-2013
Kg. Teras Jernang

Friday 11 October 2013

..: CERITERA ANTARA KITA :..



Ceritera Antara Kita
( Hadiah Hari Lahirku )

Tika aku keseorangan
Dentuman guruh
Dan hembusan angin
Cukup menyentuh nuansa hati
Memutar kembali ingatan
(Masihkah kau ingat, saat pertama kali kita menyemai rasa)
Kau tahu teman
Disaat aku datang berjalan
Aku melangkah garis persahabatan
Dengan senyuman yang mencurah

Aku tahu teman
Kau gemarkan merah jambu
Merah jambu itu
Kau hadiahkan kepadaku sebagai kawan
Dihari lahirku

Ditaman Nostalgia itu
Hatiku dipandu
Tak pernah sekali aku mengkhianatinya
Akan ku jagai dan memagarinya
Bersama kuntuman keceriaan

Dalam titisan hujan
Dengan penuh riang
Aku lihat pelangi kita
Biasannya tumpah di pondok usang
Dan aku girang lagi

Amar Aimmullah
12-10-2013
Bangi, Selangor